Aryana menyewa bilik di sebuah rumah saudara. Sebenarnya bukanlah menyewa, menumpang rumah saudara. Cuma Aryana segan tinggal percuma. Dia lebih selesa menanggung segala keperluan sendiri, termasuk kediaman. Biarpun sekadar sebuah bilik.
Hanya dia seorang. Boleh dikatakan cukup selesa. Katil bersaiz queen. Satu almari baju yang muat untuk pakaiannya yang hanya beberapa helai sahaja dan sebuah rak untuk dia letakkan bahan bacaan.Oh ! Lagi satu, kipas. Apalagi yang dia perlu ?? TV ? Dia bukan seorang kaki tv yang kerja mengadap drama setiap malam. Malah, hampir semua filem yang dia tonton mesti separuh cerita sahaja. Selebihnya, dia terlena. Sedar sahaja dah tamat. Haish..
Aryana selesa di rumah itu. Seolah-olah rumah itu miliknya. Mana tidak. Tuan rumah akan keluar rumah sesudah subuh dan kembali semula selepas magrib. Mereka hanya bertemu hujung minggu sahaja. Itupun, jika Aryana tak ada program dengan kawan-kawan. Selalunya Aryana akan jadi pengunjung setia Bandar Baru Bangi.
Memang sudah menjadi tabiat Aryana untuk tidak tidur selepas Subuh. Dia akan sediakan sarapan. Sama ada gaya orang malas, roti sapu coklat ataupun nugget goreng. Jika rajin sikit, dia akan buat nasi goreng atau bihun goreng.